09 April 2010

. : Sukarnya Melupakan..





Biar dalam bentuk apa pun jua perpisahan itu. Sama ada kita yang meninggalkan atau mereka yang berlalu pergi, hakikatnya kenangan yang tercipta tidak mungkin terkubur begitu sahaja. Biar apa pun bentuk kenangan yang ditinggalkan, pahit, manis, suka ataupun duka insan-insan ini akan tetap diingati. Ada ketikanya rindu itu datang juga. Dalam bentuk yang pelbagai. Dan rindu yang hadir itu tidaklah begitu mudah disingkirkan. Sebagaimana sukarnya mencipta kenangan, begitulah sukarnya untuk melupakan. Walaupun jauh mana mengasingkan diri, kenangan-kenangan itu tetap bersemadi di dalam hati. Bukannya tidak mencuba. Sebaliknya sudah sehabis daya. Namun rindu itu seringkali mengganggu lena. Lalu tidurlah kita berteman si air mata. Sayu dalam hati hanya Dia yang tahu. Dia yang Maha Mengetahui segalanya.



Sukarnya membunuh kenangan. Walau betapa hebat kita melupakan, kenangan itu tetap memburu. Menjadikan kita insan yang kadangkala hilang kewarasan. Hilang kewarasan atas dasar terlalu mahu hidup dalam kenangan. Kita jadi nanar dalam perasaan yang satu ini. Perasaan yang sudah sekian lama diusir namun ia datang jua. Seakan mahu menjerit pada alam. Bawalah aku jauh. Jauh dari semua kenangan dan peristiwa silam yang menyakitkan ini. Berilah aku ruang untuk bernafas kembali. dan ketika hakikatnya suara yang menjerit itu tidak kedengaran, kita menangis lagi. Menangis sedih mengenangkan sebuah perpisahan.



Perpisahan dalam bentuk apa pun jua selalunya terjadi tanpa sempat diduga oleh akal. Dan pada waktu itu tidaklah sempat menyediakan diri dalam bentuk apa sekali pun. Perpisahan sama ada yang hidup atau yang perginya tidak kembali, tidak dapat tidak, pasti saja menyebabkan kita mengalirkan air mata. Hatta si jejaka hebat sekalipun boleh menitiskan mutiara jernih itu. Hebat sungguh penangan sebuah perpisahan. Puas diseka air mata yang tumpah kala menadah tangan memohon kekuatan dari Dia, namun air mata itu tumpah jua. Penuh khusyuk memohon supaya diizinkan untuk mengusir bayangan wajahnya jauh dari kotak fikiran. Bermohon supaya diberi kekuatan untuk meneruskan hari esok dan lusa dengan penuh rasa bahagia. Bermohon tanpa henti. Bermohon dan bermohon semoga ditemukan sinar di hujung penantian. Namun jalan masih kelam. Walau dikumpul seribu kekuatan, jasad sudah tidak bermaya lagi. Dan pada waktu kita sebenarnya sudah mati sebelum mati.



Peritnya perpisahan. Namun masih ramai juga yang memilih untuk berpisah. Masih ramai lagi yang memilih untuk tidak lagi bersama dia, mereka yang dianggap teman atau saudara sehidup semati. Mengapa jadi begini? Tidak takutkah untuk mengharungi hari-hari yang mendatang tanpa kehadiran insan yg disayangi? Jangan ajukan soalan yang sama. Kerana manusia terlalu lemah hatinya. Menjadi lesu melawan perasaaan sendiri. Hakikatnya berpisah itu kadangkala lebih baik dari bersama. Bila sudah tiada keserasian antara akal dan hati pada dua jiwa, maka berpisah adalah jalan terbaik.



Mereka mahu membenci. Tapi belum pun perasaan itu bermula, mereka sudah lelah menanggungnya. Itu yang benar. Lebih mudah memupuk rasa sayang pada seseorang dari mahu membenci. Kerana dengan benci akan menjadikan manusia yang tidak berperikemanusian pada manusia lain. Ia hanya menjadikan manusia hilang sifat manusianya. Membuat keputusan merupakan perkara yang paling sukar dalam hidup. Mudahlah kiranya membuat keputusan yang tidak melibatkan hati sesiapa. Biar diri sendiri saja yang terluka. Biar diri sendiri saja yang menangis. Biar diri sendiri saja yang menyesal. Tidak sekali-kali mahu melibatkan orang-orang lain yang terpenting dalam hidup. Malangnya lebih banyak keputusan dalam hidup yang bakal melibatkan banyak orang. Pasti banyak hati yang kecewa. Perit sudah pasti.



Mudahnya menjadi anak kecil. Tiada apa yang perlu difikirkan. Segalanya diuruskan. Pun begitu, setiap dari kita menjadi dewasa juga. Menjadi dewasa dengan cara dan keadaan yang tersendiri. kadangkala kita tidaklah memilih untuk menjadi siapa kita hari ini. Dan siapapun kita hari ini usahlah takdir yang harus dipersalahkan. Kita membentuk masa depan dengan doa dan harapan. Dan seandainya doa dan harapan yang kita minta tidak tertunai mengikut cara dan keadaan yang kita mahukan, kita masih lagi belum jauh tersesat. Sebaliknya selagi kita bernyawa, Dia sedang memberi peluang untuk kita membetulkan apa jua yang dinamakan kesilapan. Membuat kesilapan tidaklah membuatkan kita manusia yang cacat pemikirannya. Sebaliknya dengan kesilapan-kesilapan yang dilakukan, boleh menjadikan kita manusia yang tahu menghargai hidup dalam erti hidup yang sebenar. Belajarlah bersyukur untuk setiap musibah yang menimpa. Atas rasa yakin dan percaya itulah, diri dapat merasakan yang kehadirannya lewat musim itu ada hikmahnya. Dan dia merupakan cerita terindah sepanjang kedewasaan ini.

Noktah!



1 comment:

Anonymous said...

thumbs up....tol2 luke dlam ati lg teruk dri luke kt lua ni....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...